Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap akan bekerjasama dengan Rafizi Ramli seandainya bekas ahli Parlimen Pandan itu tidak memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR yang direbut mereka berdua.

Selain itu jelas Timbalan Presiden PKR itu, Rafizi juga dipercayai akan diberi peranan untuk memperkukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

"Saya percaya Rafizi ada peranan di dalam parti ini. Dia sendiri sudah berada dalam PKR sejak sekian lama.

"Saya akan bekerjasama dengan dia untuk memperkuatkan parti bagi menghadapi PRU ke-15," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Azmin menjawab pertanyaan seandainya kemenangan jawatan Timbalan Presiden PKR berpihak kepadanya pada pemilihan kali ini.

Terbaharu, Azmin hampir pasti mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu menunjukkannya mendahului Rafizi dengan majoriti 3,956 undi.

Menurut keputusan akhir tidak rasmi yang dimuatnaik dalam akaun Twitter ‘Pemilihan Keadilan 2018’, Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, memperoleh 70,550 undi mengatasi Rafizi yang mendapat 66,594 undi.

Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada keputusan rasmi persaingan antara mereka untuk jawatan nombor dua parti itu.

Dalam pada itu Azmin menafikan pihaknya membuat pengumuman menang jawatan Timbalan Presiden melalui Twitter.

Jelasnya, perkara itu berlaku ekoran kesilapan pihak media yang tidak tepat membuat laporan.

"Kalau lihat tweet saya, saya sekadar mengucapkan Alhamdulillah dan bersyukur kepada anggota parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi.

"Di mana saya isytihar kemenangan? Saya maafkan (media), lain kali hati-hati. Saya tetap patuhi prosedur dan peraturan parti selain menghormati Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP)," ujarnya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meminta Azmin menghormati proses Pemilihan PKR selepas didakwa mengumumkan kemenangannya untuk jawatan Timbalan Presiden.