Calon PAS Dr Abdul Rani Osman berniat untuk terus bersama parti itu sepanjang hayatnya kerana beliau percaya kepada perjuangan parti tersebut.

"Perjuangan PAS ini istimewa. Jika kita lihat, ia berteraskan Islam.

"Kalau kita lihat perlembagaan PAS dan bandingkan dengan parti lain, UMNO misalnya, PAS meletakkan Islam sebagai yang utama," kata Dr Abdul Rani, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru.

Tambahnya, selagi beliau hidup, perjuangannya akan terus dilaksanakan atas platform PAS.

"InsyaAllah, saya akan bersama parti ini sehingga akhir hayat saya," kata beliau.

Apabila ditanya apa ulasan beliau pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, Dr Abdul Rani berasa optimis.

"Saya telah cuba untuk bertemu seramai mungkin dan InsyaAllah, saya berasa peluang untuk menang itu ada," kata beliau.

Dr Abdul Rani akan berdepan dengan Budiman Mohd Zohdi dari Barisan Nasional (BN) dan Azhar Abdul Shukur dari Parti Amanah Negara (Amanah) untuk kerusi Parlimen Sungai Besar.

Pengundian bakal berlangsung Sabtu ini.