Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, berkata sekiranya beliau boleh mengatur demonstrasi jalanan, tiada sebab dia tidak berupaya menjadi ahli Parlimen.

"Saya berupaya, apatah lagi selepas mengatur ribuan orang di jalanan semasa perhimpunan Bersih. Sekiranya ketua pembangkang adalah 92 tahun, sudah tentu saya (yang lebih muda) mempunyai lebih tenaga untuk menjalankan tugas," katanya.

Baru-baru ini, ibu kepada tiga anak lelaki yang berusia 62 tahun ini telah meletakkan jawatan dalam Bersih untuk berkecimpung dalam arena politik.

Maria, bekas Pengerusi Bersih 2.0, berkata buat masa ini dia tidak berminat menyertai mana-mana parti politik pembangkang.

Namun, dia tidak menafikan kemungkinan akan menyertai sesebuah parti politik selepas PRU14.

Katanya lagi, sekarang dia ingin memberi tumpuan lebih kepada isu rakyat.

BACA: #MalaysiaMemilih: Maria Chin bertanding sebagai calon PH bukti Bersih 2.0 alat pembangkang - Rizal Mansor

BACA: Maria Chin bertanding PRU14 atas tiket PKR


"Isu kemiskinan bandar adalah satu isu yang besar di kawasan Petaling Jaya, khususnya di Taman Medan dan Seri Sentosa. Satu lagi isu ialah kekurangan lapangan rekreasi bagi generasi muda di sekitar Petaling Jaya," kata Maria.

Maria berkata, dia tahu masalah-masalah ini tidak boleh diselesaikan olehnya sendiri dan mahu kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bagi menyelesaikannya bersama.

"Saya berharap semua pihak, sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan, akan bersama untuk mencari solusi bagi masalah kemiskinan bandar kerana jumlah penduduk miskin bandar semakin meningkat setiap hari.

"Gaji yang diterima tidak setimpal dengan kos barang yang semakin tinggi," tambahnya.

Kawasan Parlimen Petaling Jaya mempunyai lebih kurang 80,000 pengundi dengan majoriti Melayu dan Cina yang sama rapat dan dimenangi oleh PKR pada dua penggal yang lalu.

Kawasan ini dulunya dikenali sebagai Petaling Jaya Selatan sebelum persempadanan semula yang berkuat kuasa awal bulan April.