Majlis istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Johor yang baharu akan dilakukan pada pukul 3 petang esok.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persiapan sudah dibuat dan calon yang akan menjawat Menteri Besar akan diketahui dalam masa terdekat.

“Pemilihan calon Menteri Besar adalah keputusan konsensus dalam Pakatan Harapan dengan mengambil kira pengalaman dalam pentadbiran dan politik, latar belakang, kelulusan serta pelbagai aspek lain.

"Ini penting kerana kita sedar pengundi mengharapkan sesuatu lebih baik bagi memastikan agenda yang kita hendak lakukan dapat dilaksanakan bawah satu kepemimpinan kukuh dan berpengalaman," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Muhyiddin sebelum itu bertemu Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi untuk memohon perkenan baginda menubuhkan kerajaan baharu Johor serta menyerahkan beberapa nama untuk jawatan Menteri Besar.

Antara nama yang disebut-sebut untuk dipertimbangkan bagi jawatan tersebut adalah ADUN Simpang Jeram, Salahuddin Ayub, ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian dan ADUN Parit Yani, Aminulhuda Hassasn.

BACA: MB Johor bakal diketahui sebelum upacara angkat sumpah esok - Muhyiddin

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir berkata beliau bukan salah seorang daripada calon-calon tersebut kerana mahu memberikan ruang kepada pemimpin muda.

"Saya membuat keputusan itu bagi memberi ruang kepada orang muda. Saya boleh memanfaatkan masa untuk memberikan banyak tunjuk ajar dan menjadi mentor,” katanya.

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor selama tiga penggal (1986-1995).