Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berasa pelik apabila frasa tsunami Cina digunakannya selepas PRU13 dikecam sesuatu yang melampau, tidak patut dan sangat rasis oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Lim Kit Siang.

Najib berkata beliau sering dituduh oleh propagandis DAP bahawa beliau pernah mengeluarkan perkataan 'Apa lagi Cina mau' selepas PRU13 dan mendapat kecaman bertahun-tahun lamanya.

Menurutnya, frasa tsunami Cina diulangi oleh pemimpin-pemimpin DAP di dalam ceramah-ceramah dan laman media sosial mereka untuk mengasut dan menaikkan kemarahan kaum Cina walaupun beliau tidak pernah keluarkan kenyataan ini sama sekali.

“Yang saya sebenarnya pernah cakap ialah menggunakan frasa tsunami Cina untuk PRU13… tetapi Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP lain pun tidak suka ini. Kit Siang kata penggunaan tsunami Cina oleh saya ini adalah sesuatu yang melampau, tidak patut dan sangat rasis.

“Tetapi selepas itu, pemimpin-pemimpin DAP termasuk Kit Siang berulang kali menggunakan frasa tsunami Melayu di dalam ceramah-ceramah dan kenyataan-kenyataan mereka,” katanya melalui perkongsiannya di laman sosial Facebook peribadinya, malam tadi.

Najib berkata, beliau masih pelik mengapa bila beliau menggunakan frasa tsunami Cina sekali sahaja ia disifatkan oleh DAP bahawa beliau melampau, tidak patut dan rasis, tetapi apabila Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP lain berulang-kali menggunakan frasa tsunami Melayu, mereka tidak pula dianggap sebagai melampau, tidak patut dan rasis.

“Pelik bukan? Soal Najib diakhir perkongsiannya itu.

Perkongsian bekas perdana menteri itu kali ini adalah susulan jangkaannya selepas beliau mengemukakan soalan-soalan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terbukti ada kebenarannya.

“Selepas diam untuk beberapa hari Kit Siang tiba-tiba muncul hari ini untuk membuat kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saya untuk mengalih perhatian,” katanya.

Menurutnya, dua minggu lalu, beliau membuktikan bahawa Kit Siang bukan seorang yang jujur di mana cabaran beliau untuk Kit Siang mengaku bahawa beliau sudah mengembalikan semua wang yang dikenali sebagai RM2.6 bilion di jawab dengan jawapan yang berputarbelit kerana dia tidak mahu mengaku.

“Lain ditanya, lain pula dijawab. Hari ini, saya dedahkan lagi permainan politik tidak jujur dan menghasut Kit Siang dan DAP,” katanya dengan merujuk kepada frasa tsunami Cina selepas PRU13.