'Saya harap Najib tidak terasa hati' - Ahmad Zahid

'Saya harap Najib tidak terasa hati' - Ahmad Zahid
AHMAD ZAHID: Lebih baik untuk UMNO memberi fokus kepada membetulkan keadaan daripada mengeluarkan pendapat sedemikian yang boleh dianggap sebagai pendapat rasmi kerana mereka memegang jawatan tertinggi dalam parti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terasa hati dengan komen dua pemimpin UMNO tentangnya.

"Saya mengambil pendekatan bahawa mana-mana pemimpin yang terdahulu harus dihormati kerana jika tidak ada yang dahulu, tidak ada yang sekarang.

"Soal bagasi atau perkara-perkara yang lain yang kita belum dapat keputusan daripada mahkamah tidak perlu diutarakan melalui media apatah lagi melalui surat terbuka atau pendapat-pendapat yang sedemikian," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Beliau merujuk kepada komen daripada Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Najib boleh dianggap sebagai liabiliti dalam usaha UMNO untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

Tambah Zahid, lebih baik untuk UMNO memberi fokus kepada membetulkan keadaan daripada mengeluarkan pendapat sedemikian yang boleh dianggap sebagai pendapat rasmi kerana mereka memegang jawatan tertinggi dalam parti.

Apabila ditanya sekiranya UMNO akan mengambil tindakan terhadap dua pemimpin ini, Zahid berkata pendekatan tersebut tidak akan diambil.

"Kita tidak mengambil pendekatan begitu tetapi kita mengambil pendekatan musyawarrah dan saya harap Datuk Seri Najib tidak terhentak hati atau terasa hati dengan pendapat-pendapat yang sedemikian.

"Kami memahami tekanan yang beliau hadapi dan kami bersimpati dengan beliau," katanya.