“Cool... (bertenang),” itu nasihat Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa kepada semua pihak walaupun Pas kelihatan ‘panas’ berhubung keputusan Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, semua pihak tidak perlu melayan tindak tanduk pemimpin Pas yang memperlihatkan ‘kepanasan’ mereka memandangkan Nik Omar telah pun membuat keputusannya sendiri dan berusaha mencapai kemenangan demi rakyat dan negara.

“Ini membuktikan Nik Omar menyumbang positif kepada kekuatan Pakatan Harapan dan kepada semua pemimpin Pas untuk terus bertenang memandangkan banyak lagi kelatahan dibuat pemimpin Pas yang boleh menimbulkan kesan negatif kepada Pas sendiri.

“Saya merujuk kepada kenyataan secara umum melibatkan kepimpinan tertinggi Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Takiyuddin Hassan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya harap mereka dapat bertenang dan tidak mendedahkan Pas dengan kesan negatif yang besar, sekali gus menganggap ini satu perkembangan politik demokrasi Malaysia,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah.

Ketika diminta mengulas mengenai keretakan hubungan keluarga Nik Omar, beliau menjelaskan perkara tersebut tidak perlu diulas panjang memandangkan ia merupakan privasi semua pihak.