Rakaman suara yang didakwa dari mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 23 Februari siri kedua tersebar hari ini (Khamis).

Audio yang dikatakan suara Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad itu disiarkan di laman Facebook milik Bersatu.TV.

Rakaman tersebut mendedahkan apa yang disebut selama ini oleh Dr Mahathir dan beberapa pimpinan Bersatu bahawa bekas perdana menteri itu meminta agar tidak mendesak beliau memungkiri janji.

"Tolong lah jangan paksa...Jangan paksa saya... buat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip saya.

"Saya janji saya tunai, saya janji nak letak jawatan saya akan letak jawatan. Tapi kalau saya janji nak letak jawatan, saya tak dibenar meletak jawatan, itu salah saya sebab keputusan itu ada pada diri saya.

"Tak ada siapa boleh kata "Jangan letak jawatan". Kalau saya dah buat keputusan, saya akan letak jawatan, lepas itu apa yang saya sebut tadi boleh berlaku.

"Kena pilih baru, kena tentukan orang itu dapat majoriti dan sebagainya. Dan kalau nak saya balik pun saya balik. Itulah cerita pada hari ini," kata suara yang mirip Dr Mahathir itu.

Lelaki dalam rakaman itu juga menjelaskan bahawa pada hari tersebut (23 Feb 2020) akan ada satu mesyuarat dengan pemimpin parti lawan yang menyokong beliau.

Beliau menegaskan akan menyampaikan perkara yang sama dalam pertemuan yang dijadualkan itu.

"Sebab itu, hari ini akan diadakan satu mesyuarat dengan pihak-pihak mereka yang sokong saya dari parti lawan ini akan jumpa dengan saya.

"Dan ini lah juga cerita yang akan saya sampaikan dan dengan itu perancangan untuk mengadap DYMM untuk menyatakan saya dapat sokongan daripada... daripada... majoriti tak perlu dibuatlah kerana saya dah dapat dah sokongan.

"Saya belum letak jawatan, itu lah cerita yang sebenarnya. Sorry I am so emotional about it but a... (menahan sebak) saya sedar saya tak ada banyak masa dah.

"Itu lah pendapat saya," kata lelaki itu.

BACA: Audio rakaman mesyuarat Bersatu sebelum Tun M letak jawatan tersebar

Kelmarin, tersebar satu rakaman suara yang didakwa dari mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai PM.

Audio rakaman itu dipercayai intipati mesyuarat yang berlangsung dimana majoriti ahli MPT Bersatu bersetuju untuk keluar daripada Pakatan Harapan.

Menerusi rakaman itu, satu suara mirip kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta aggota MPT menyerahkan kepada Pengerusi parti Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada parti itu perlu kekal dalam Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.