Perbalahan antara Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo dengan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar terus berlarutan.

Terbaharu, Wan Muhammad telah mengisytiharkan dia bukan lagi 'budak KJ' apabila bekas Ketua Pemuda UMNO itu memintanya supaya jangan ganggu orang yang hendak berlawan di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Khairy sebelum itu telah memuat naik satu tweet meminta UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus berjuang dalam PRK tersebut walaupun Port Dickson dilihat sebagai kerusi yang sukar dimenangi.

"UMNO-BN must contest. PD is not a winnable seat but we must fight this shameless political entitlement. (UMNO-BN perlu bertanding. PD bukan lah kerusi yang boleh dimenangi tetapi kita perlu juga lawan.)," tulis Khairy.

Namun, Wan Muhammad telah membalas tweet tersebut dengan menggesa BN supaya "tidak perlu melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim".

BACA: Isu sebat: KJ 'sound' Papa Gomo suruh diam

BACA: 'Kenapa KJ, kenapa jadi macam ni?' - Papa Gomo

Khairy, kemudiannya membalas tweet Wan Muhammad itu dengan menyuruhnya duduk diam sambil memakai baju gabungan UMNO-Pas yang disifatkannya sebagai 'sangat buruk' itu.

"Tak nak lawan sudah. Awak duduk tepi sambil pakai baju gabungan UMNO-PAS yang fugly (sangat buruk) tu. Jangan kacau orang yang nak lawan," Khairy membalas.

Kecewa dengan teguran itu, Wan Muhammad memuat naik kenyataan menerusi sesi Facebook Live mengatakan dia tidak lagi menyokong Khairy.

"Sekarang saya tidak lagi menyokong KJ. Biarlah orang nak cakap saya tak kenang jasa.

"Pada saya, kita dalam politik kena ada prinsip... kena ada sebab. Bagi saya, ia adalah agama, bangsa dan negara," katanya.

Wan Muhammad baru-baru ini dilaporkan telah menawarkan diri untuk bertanding PRK Parlimen Port Dickson menentang Anwar Ibrahim.

BACA: Papa Gomo tawar diri lawan Anwar di Port Dickson

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi kawasan itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Presiden PKR itu bertanding sekali gus menyertai Dewan Rakyat dan menjadi Perdana Menteri ke-8.