Keputusan untuk terus menabur bakti di Putrajaya bukanlah mudah, tetapi demi Malaysia tercinta, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyahut cabaran itu.

Guan Eng yang dilantik sebagai Menteri Kewangan mengakui rasa berat hati untuk meninggalkan Pulau Pinang.

“Keputusan saya untuk ke Putrajaya bukanlah kerana saya tidak sayang Pulau Pinang, saya sayang Pulau Pinang tetapi saya lebih sayangkan negara ini, dan sayangkan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

"Meskipun 'berat', saya berikrar bahawa saya akan usahakan sebaiknya dan berjuang setiap hari untuk rakyat Pulau Pinang dan Malaysia," ucapnya pada Ceramah Mega Sekalung Budi Membina Harapan di Esplanade, Pulau Pinang malam tadi.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Nasional itu berterima kasih kepada rakyat Pulau Pinang kerana mengekalkan kemenangan negeri itu serta berjanji akan memulihkan situasi ekonomi di negara ini.

Beliau turut meminta supaya rakyat bersabar dalam menuntut janji-janji daripada Pakatan Harapan.

“Terima kasih kepada semua, kita bukan sahaja berjaya mengekalkan Pulau Pinang tetapi juga menang ke Putrajaya dan kita akan laksana serta menjayakan segala janji termasuk memulihkan 'kesihatan' kewangan negara.

"Saya harap rakyat bersabar kerana kita (Pakatan Harapan) perlu 'membaiki' kemungkaran 61 tahun yang telah dilakukan Barisan Nasional sebelum ini.

“Saya berharap rakyat dapat memberi kami sedikit masa, dan kami pasti akan menunaikan janji-janji yang dibuat yang tidak mungkin dapat ditunaikan dalam tempoh masa sehari” tambahnya lagi.

Guan Eng mentadbir Pulau Pinang sejak 10 tahun lalu selepas Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) di negeri itu pada 2008.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow dipilih sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggantikan Guan Eng.