Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan beliau tidak akan sesekali membiarkan dirinya terperangkap dalam ‘gelanggang fitnah' dan pembohongan pembangkang.

Menurut beliau, gelanggang yang sengaja direka pembangkang itu merupakan taktik kotor serta strategi politik pembangkang yang bertujuan mencalarkan imejnya.

Katanya, beliau yakin masyarakat sudah mengenali watak-watak yang tidak pernah putus 'mengerjakan' beliau dengan tuduhan tidak berasas selama ini.

“Bayangkan, seorang pemimpin dan pengerusi sebuah parti pembangkang, seorang tokoh politik, disebabkan dia geram dan kemarahan yang tinggi, dia perlu memaki saya.

“Inilah strategi mereka ketika ini dan PRU14 ini nanti. Pada mereka, mereka perlu mencalar-balarkan Zambry kerana 'faktor Zambry' itu amat penting, dan ini digelar sebagai pembunuhan karakter atau character assasination.

“(Bagi mereka) Imej (Zambry) ini, perlu dimatikan dan dibunuh, kerana mereka tahu saya merupakan penghalang utama mereka menjelang pilihan raya umum kelak. Saya tahu agenda mereka jadi saya tak perlu berada dalam gelanggan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh ahli panel sempena Program wawancara Selamat Pagi Perak di Auditorium RTM, pada pagi Khamis.

Program temuramah santai yang disiarkan secara langsung di Perak FM serta laman Facebook Zambry itu turut mengetengahkan keadaan ekonomi dan sosial semasa, malah cabaran sebenar anak jati Pulau Pangkor itu sebagai Menteri Besar Perak.

Katanya, segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau meskipun sudah berlalu selama tiga tahun bukan lain tujuannya selain mewujudkan rasa kebencian di kalangan rakyat negeri ini.

“Mereka kaitkan saya dengan pembelian kereta mewah yang sebenarnya dimanfaatkan bagi kegunaan syarikat secara bersama-sama, menuduh saya membeli anugerah Brandlaureatte dan sebagainya.

“Mereka cuba menimbulkan persepsi benci, mengatakan saya menerima bonus mencecah RM100,000 sedangkan penjawat awam Perak terima RM2,000 sahaja.

“Pembangkang… dah namanya pembangkang. Mereka akan wujudkan juga sebarang isu walaupun tiada isu, soal dosa dan aib itu bukan kepentingan mereka tetapi bermain di gelanggang persepsi rakyat,” katanya lagi.

Ketika ditanya samada fitnah pembangkang membuatkan beliau mempertimbang untuk meletakkan jawatan, Zambry secara sinis menjawab, “Apa lagi yang dia boleh buat, dia nak saya letak jawatan jadi senang buat mereka, mereka anggap saya ini penghalang utama kejayaan mereka."