Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak boleh mencampuri urusan pemilihan parti sebaliknya menyerahkan hal itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata walaupun ramai pihak yang mendesaknya untuk berbuat sesuatu tetapi parti telah membuat keputusan bahawa apa sahaja urusan pemilihan akan dikendalikan JPP.

"Banyak orang minta saya campur tetapi saya tidak boleh. Ini yg tidak difahami termasuk media.

"Saya tidak boleh campur dalam urusan pemilihan selain memastikan jangan ada penipuan, ugutan dan saya minta JPP melantik orang yang betul-betul bebas dan bersih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Wushu Piala Long Yi Port Dickson di sini hari ini.

Anwar berkata walaupun dia mendapat maklumat berkaitan beberapa cubaan untuk menganggu urusan pengundian seperti kerosakan tablet, serangan siber dan sebagainya, tiada apa yang boleh dibuat kerana semua berada dibawah bidang JPP.

"Saya minta calon-calon untuk terima apa saja keputusan dengan baik dan dan kalau ada kes seperti mana dianggap ada penipuan, kerosakan tablet, ugutan.. itu dibawa kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

"Terima saja apa keputusan berdasarkan pandangan JPP dan saya minta pihak JPP meneliti tiap bantahan supaya benda itu diterima dengan baik," katanya.

Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden pada pemilihan kali ini, menjangkakan keputusan penuh Pemilihan Keadilan 2018 berkemungkinan akan lewat sedikit.

"Saya ingat berdasarkan pandangan JPP mungkin akan lewat sedikit (keputusan penuh).

"Tetapi saya tidak fikir kita akan panjangkan lagi sebab memanjangkan proses pemilihan ini menimbulkan banyak sangat pertelagahan dalaman," katanya.

Ditanya kedudukan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di dalam kerajaan memandangkan dia kini sudah tidak memegang jawatan di dalam PKR, Anwar berkata isu itu tidak menjadi masalah.

"Itu tidak berbangkit sebab keputusan dulu perdana menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalan perdana menteri pula Azizah. Itu keputusan dibuat Pakatan Harapan," katanya.

Hari ini, tujuh cabang PKR yang bermasalah dalam pemilihan parti mengadakan semula pengundian di kawasan masing-masing iaitu Kuala Selangor, Selangor; Jelebu, Negeri Sembilan;Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin di Melaka.

Pada pemilihan kali ini, sebanyak 76 jawatan dipertandingkan di peringkat pusat dan hampir 10,212 jawatan dipertandingkan di peringkat cabang seluruh Malaysia.

-- BERNAMA