Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kenyataan beliau mengenai ahli perniagaan Jho Low baru-baru ini telah disalahertikan.

Beliau nafi mengeluarkan kenyataan telah ditipu Jho Low, sebaliknya, perkara berkenaan boleh berlaku jika kes berjaya dibuktikan.

"Kenyataan saya di Sinar Harian hari itu telah dikilas oleh portal tertentu. Sebenarnya saya tak kata saya ditipu Jho Low. Saya kata, kalaulah terbukti maka itulah dia.

"Maknanya, kalau terbukti nanti, maknanya kita telah ditipu oleh dia (Jho Low). Itu yang saya kata," katanya semasa sesi soal jawab pada Sembang Santai Bersama Datuk Seri Najib Razak di Maran.

Beliau dalam pada itu mengaku mengenali Jho Low.

"Saya nak beritahu, saya tidak pernah nafikan bahawa saya tidak mengenali beliau.

"Saya kata saya kenal beliau secara profesional dan kita gunakan beliau dalam urusan kita dengan Arab Saudi dan UAE khususnya untuk menarik pelaburan ke Malaysia, untuk bantu kita," katanya lagi.

Malah, katanya, kerajaan sebelum ini berjaya menyelesaikan banyak permasalahan hasil hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi.

"Bukan sahaja pelaburan. Apabila pelajar kita terperangkap di Mesir semasa Arab Spring, kerajaan Arab Saudi aturkan dua jumbo jet untuk bawa balik pelajar kita dan mereka bayar. Sebab apa? Sebab hubungan saya dengan Raja Arab begitu baik.

"Kuota haji diberi tambahan 10,000 jemaah. Arab Saudi kata jangan sebut sebab dia bagi kita keistimewaan. Ramai orang pergi haji sebab hubungan baik ini," katanya lagi.

Najib berkata beliau tidak mengetahui tentang isu yang melanda kerana tidak diberi isyarat daripada penasihat yang dilantik.

"Kita juga mewujud atau melantik peguam antarabangsa. Goldman Sachs tu kita lantik. Bank pelaburan terkemuka dunia, antaranya ialah Goldman Sachs. Namun kalau Goldman Sachs tidak menjaga kepentingan kita, apakan daya kita.

"Inilah yang musykil sebab sudah lantik Goldman Sachs, auditor antarabangsa dan peguam untuk jaga kita. Kalau mereka tidak beri signal, takkanlah saya tahu apa yang berlaku. Tentu saya sebagai Perdana Menteri saya bergantung pada orang yang dilantik untuk beritahu saya.

Tambah Najib, laporan PAC mengenai 1MDB menunjukkan beliau tidak melakukan kesalahan dan jika berlaku isu 'curi duit' ia mungkin melibatkan pihak lain di luar negara.

"Bila saya jadi Perdana Menteri, saya panggil PAC untuk 1MDB. Dia didapati saya tidak melakukan kesalahan dalam laporan PAC. Jadi kalau curi duit, mungkin ia berlaku dengan pihak lain di luar negara.

"Tunggulah, sebab perkara ini sensitif dan ada hubungan dengan negara lain. Namun kemungkinan ada kolaborasi yang berlaku dengan pihak-pihak di luar negara.

"Inilah yang perlu disiasat, jangan siasat orang dalam negara sahaja," tambahnya.