Lebih baik berdiam daripada mengambil risiko jatuh ke dalam perangkap Pakatan Harapan (PH), kata calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Ramli Md Nor.

Bekas pegawai polis daripada suku kaum Semai itu berkata, pendirian beliau tidak bercakap dengan pemberita sebelum ini adalah bagi melindungi diri sendiri daripada menjadi sasaran mainan politik.

Ramli berkata demikian ketika disoal pemberita sekiranya beliau tidak senang dengan pihak media.

"Bukan tak suka (dengan media). Macam ini lah, apa kerja saya sebelum ini? (Sebagai pegawai polis) saya beri kenyataan media dan sebagainya kan?

"Saya dah biasa dengan media tetapi saya tak mahu jatuh ke dalam perangkap mereka (PH). Orang kata, lebih banyak kita bercakap, lebih banyak perkara tak elok keluar dari mulut kita," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Menson di sini pada Sabtu.