Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menegaskan beliau tidak tahu wujudnya amalan wang politik dalam PKR seperti mana didakwa Naib Presiden parti, Rafizi Ramli.

Beliau berkata jika betul dakwaan mengenai amalan wang politik dalam parti berlaku, maka Rafizi harus mengemukakan bukti

“Mana saya tahu, tanya Rafizi... mana saya tahu apa yang dia cakap.

“Saya tak dengar pun. Kalau betul ada, minta tunjuk bukti. Kalau tahap ini, tak guna bercakap... tunjuk bukti,” kata Ketua Wanita PKR kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, PKR akan siasat dakwaan Rafizi berhubung politik wang yang berlaku dalam parti.

BACA: PKR akan siasat dakwaan politik wang

BACA: Politik wang semakin membimbangkan - Rafizi

Terdahulu, Rafizi mendakwa politik wang dilihat semakin membimbangkan pada musim pemilihan parti PKR dan menyeru anggota parti menolak calon-calon mengamalkan budaya tersebut.

Zuraida, ketika ditanya adakah beliau akan membangkitkan isu tersebut pada mesyuarat biro politik PKR malam ini, jawab beliau, "ia bergantung".

Selain itu, beliau juga mengulas mengenai perjalanan pemilihan parti PKR yang menimbulkan kontroversi kerana menggunakan sistem e-voting.

Katanya, beliau berpuas hati dan melihat ada pembaikkan memulihkan masalah tersebut.

Zuraida yang bertanding sebagai calon naib presiden yakin bahawa beliau akan memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan PKR.