Tan Sri Zulhasnan Rafique tidak akan disabotaj, kata bekas Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

"Saya ahli parti. Saya akur dengan keputusan parti.

"Paling penting ialah memastikan Barisan Nasional (BN) menang," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas sesi pengenalan calon Barisan Nasional Wilayah Persekutuan hari ini.

Kerusi Setiawangsa menjadi tumpuan selepas ia menjadi satu-satunya kerusi yang penyandangnya tidak dikekalkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

BACA: UMNO pinjam Bandar Tun Razak, pulang semula Wangsa Maju kepada MCA


Sementara itu, Zulhasnan berasa yakin bahawa tiada unsur sabotaj yang akan dilakukan terhadapnya.

"Fokus utama ialah kemenangan Barisan Nasional di Setiawangsa," katanya.

Zulhasnan yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan pernah menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa pada PRU ke-12 (2008).


Namun, pada PRU ke-13, Ahmad Fauzi dipilih bagi menggantikannya dan memenangi kerusi tersebut.

Susulan itu, beliau turut lepaskan jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Zulhasnan bakal berdepan pertembungan tiga penjuru bersama Pas dan Pakatan Harapan pada PRU 14 di Setiawangsa.