Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad mengakui tidak mengambil peduli sebarang kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengenai kedudukan parti itu yang dikatakan tidak menumpang apa sahaja perkara berkaitan Pas.

Jelasnya, ia dikira isu berlainan daripada perjuangan parti yang jelas misi mahu membela rakyat serta fokus terhadap pentadbiran khususnya dalam soal belanjawan negeri.

"Saya tidak ambil pot (peduli) apa yang Mat Sabu hendak kata mengenai Amanah atau Pas. Misi dan fokus Pas jelas untuk merealisasikan harapan rakyat terutama selepas pembentangan bajet negeri baru-baru ini," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Iskandar berkata tidak tahu mengenai sebarang pertemuan Mat Sabu dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

"Banyak sangat spekulasi mengenai pertemuan itu. Kita juga tidak mahu layan perkara sedemikian yang boleh menjejaskan apa sahaja fokus parti," ujarnya.

Sementara itu tegasnya, Pas Selangor melihat sebarang spekulasi yang melibatkan parti itu dengan Amanah atau DAP bukan keutamaan yang perlu didahulukan.

"Kita tidak layan spekulasi atau cakap-cakap orang mengenai apa sahaja bentuk kerjasama Pas dengan Amanah atau DAP.

"Biarlah apa orang kata mengenai Pas dengan pakatan pembangkang baharu. Kita komited untuk meneruskan pentadbiran negeri ini sebagaimana yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lepas," katanya.

Iskandar turut menegaskan tidak pernah ada sebarang perbincangan mengenai kerusi di negeri itu yang ingin ditandingi DAP.

"Kita tetap akan mempertahankan lapan kerusi DUN iaitu di Taman Templer, Lembah Jaya, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Paya Jaras yang diingini DAP.

"Bagaimana DAP boleh kata mahu bertanding di kawasan berkenaan sedangkan tidak pernah ada sebarang perbincangan mengenainya sebelum ini?" soalnya.