Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu tidak pernah meminta Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf ekoran tindakan pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Malah, Ketua Umum PKR itu mendedahkan beliau sudah lama memaafkan tindakan perdana menteri itu pada masa lalu.

"Saya tidak pernah memintanya untuk memohon maaf. Dan saya yakin dan berpuas hati dengan sikapnya dan kesediaan untuk bekerja dengan saya.

"Lupakan kisah silam dan bergerak ke hadapan. Ia adalah anda (media) yang memainkan isu minta maaf di BBC.

"Saya sudah memaafkan Mahathir."

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peringatan Ulang Tahun ke-150 Mahatma Gandhi, di sini, hari ini.

TONTON: "Saya tidak pernah mintak maaf secara rasmi kepada Anwar"

BACA: 'Saya tiada masalah bekerjasama dengan Anwar Ibrahim' - Dr Mahathir

Anwar mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengakui tidak pernah memohon maaf secara rasmi kepada Anwar dalam satu wawancara khas bersama media antarabangsa, BBC pada Selasa.

Dr Mahathir sebelum ini menegaskan beliau tidak seharusnya dipersalahkan terhadap hukuman penjara yang dijatuhi ke atas Anwar kerana itu adalah keputusan mahkamah.

Bagaimanapun, Dr Mahathir semasa sesi soal jawab dalam forum yang berlangsung di Chatham House, London baru-baru ini turut menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Anwar.

Dr Mahathir pada tahun lepas pernah membuat permohonan maaf secara terbuka sekiranya pernah membuat sebarang kesilapan sepanjang tempoh terbabit dalam politik tanah air di hujung ucapan yang disampaikannya di Shah Alam.

Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 Disember 1993 sebelum Dr mahathir memecatnya pada 2 September 1998 dan didakwa serta dipenjara atas tuduhan rasuah serta liwat.

Anwar bagaimanapun dibebaskan pada 16 Mei lalu selepas mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

Anwar kini menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober.