Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak pernah 'menikam belakang' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya menegur depan-depan.

Menurut Shafie, sepanjang karier politiknya sebelum ini termasuklah ketika menjawat jawatan penting di dalam UMNO dan Kabinet, beliau sesekali tidak pernah berbuat demikian selain menegaskan apa yang terjadi hanyalah disebabkan sikap keterbukaannya menegur mengenai isu 1MDB.

"Perkara ini berlaku bukan satu perkara yang dicipta atau direka, saya tidak pernah tikam belakang kerana saya tegur dia (Najib) di depan-depan bahkan jemaah menteri yang hadir mesyuarat Kabinet berapa kali saya suarakan tentang 1MDB... masih hidup menteri-menteri ini.

"Adakah saya tikam belakang bukan persoalan kawan dan sahabat, (ini) persoalan negara kita yang memerlukan pentadbiran yang cekap, amanah dan memastikan supaya melindungi hak-hak rakyat di negara ini.

"Maka saya berani menegur... saya berani mencadangkan mengambil tindakan terhadap 1MDB tetapi malangnya bila saya cadangkan, saya pula diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI di kediamannya sebagai mengulas tindakan Najib dalam ucapannya menyelar Shafie yang juga bekas naib Presiden UMNO, kerana tidak mengenang jasa dan menikamnya dari belakang apabila membuat keputusan keluar daripada UMNO.


Najib yang juga Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna, hari ini.

Beliau menyifatkan Shafie yang juga sahabat karibnya sanggup berbuat demikian disebabkan keadaan tertentu.