Rakyat perlu sedar bahawa sokongan harus diberikan kepada kerajaan kini yang telah menabur bakti selama berdekad dalam membangunkan negara, tegas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, janganlah hanya kerana ada 'sesetengah' pihak yang cuba menggulingkan kerajaan demi cita-cita peribadi mereka, rakyat kehilangan kerajaan yang menjaga rakyat.

"Saya rasa amat sedih dengan keadaan politik Malaysia kini, kerana ada orang mempunyai ego yang tinggi, hati yang angkuh.

"Dia ingin jatuhkan kepimpinan yang ada, padahal kerajaan sedia ada ini sedang membawa negara
di landasan yang betul.

"Saya tidak faham kenapa puak-puak ini ingin jatuhkan kerajaan. Barangkali kerana tidak kesampaian matlamat," kata Tengku Adnan.

Beliau merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga anaknya Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Menteri Wilayah Persekutuan yang mesra dikenali sebagai Ku Nan itu berkata demikian selepas merasmikan Program Sukarelawan dalam Penglibatan Komuniti (VOICE) sempena Hari Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pagi ini.

Program ini menyaksikan 500 orang sukarelawan berjalan dari Jalan Tun H.S. Lee ke Masjid Jamek sebagai simbolik semangat kesukarelawanan bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan memberi sokongan sosial.

"Kami harap melalui inisiatif sebegini, semangat ini dapat dipupuk secara berterusan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan supaya momementum kesukarelawanan ini sentiasa tinggi," kata Ku Nan.