Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ahli Parlimen dari parti itu yang masih belum membuat pengisytiharan harta supaya segera berbuat demikian.

Ini berikutan terdapat 13 anggota Parlimen yang belum mengisytiharkan harta seperti terdapat di dalam Portal Pengisytiharan Harta sehingga jam 5 petang Ahad.

"Saya nasihatkan mereka cepat berbuat demikian, bahagian saya dah selesai, walaupun tiada harta, letak sahajalah tiada harta.

"Kalau ada, letaklah yang mana ada," katanya pada sidang media Bersatu di Menara Yayasan Selangor pada Selasa.

Semalam, terdapat menteri yang mengatakan sebab utama mereka tidak membuat pengisytiharan harta, adalah kerana mereka tidak mempunyai harta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menegaskan beliau tidak memiliki sebarang harta untuk diisytihar kerana beliau miskin.

Manakala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy pula mengakui tidak mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak memiliki sebarang harta.

Selain itu, Muhyiddin yang Menteri Dalam Negeri turut menyentuh mengenai prestasi Menteri Besar di bawah parti itu.

"Setakat ini ada yang okey ada juga yang tak okey, saya nak komen lebih mengenai prestasi pun tak boleh saya pun menteri.

"Apa yang penting, mereka mesti faham tugas mereka, sebahagian besar dari mereka baru dilantik, perlu sentiasa perbaiki. Selebihnya, (biar) rakyat yang menilai," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan, Perhimpunan Agung Bersatu kali ke-2 bakal berlangsung bermula 28 hingga 30 Disember bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurut beliau, antara agenda utama yang akan dibawa termasuk perjuangan dalam membela nasib bumiputera dan bukan bumiputera serta komitmen parti.

"Sekarang kita tahu ada rasa kebimbangan, kita nak nyatakan dengan tegas bahawa kita akan terus perjuangkan nasib bumiputera dan pembelaan bukan bumiputera.

"Kita akan usulkan pendekatan dalam perbahasan dan kita tidak bersifat perkauman," tambahnya, menangkis dakwaan kononnya Pakatan Harapan tidak memberi perhatian terhadap perjuangan nasib bumiputera.