Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa keahlian parti itu ditambah supaya ia kekal mempunyai kuasa dalam pentadbiran negara.

Dr Mahathir berkata Bersatu yang baru berusia tiga tahun tidak mampu untuk terus mendapat sokongan jika bahagian dan cawangan tidak diperkasa dengan menambah ahli.

Ujar beliau, Bersatu perlu belajar daripada pengalaman pilihan raya umum lalu di mana parti itu hanya memenangi 13 kerusi Parlimen walaupun bertanding sebanyak 52 kerusi.

“Kita tidak menang banyak kerusi kerana Bersatu pada ketika itu masih baharu. Ahli kita tidak cukup ramai, jadi hubungan kita dengan rakyat terhad. Tapi kalau ahli parti kita ramai, pergaulan dengan rakyat lebih meluas.

“Jadi kepada ketua-ketua bahagian, segera tambah ahli kerana tiada makna jadi ketua jika tidak ada pengikut.

"Dan saya juga tidak akan menjadi Perdana Menteri jika calon kita kalah pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan Bersatu di sini malam ini.

Majlis itu dianjurkan antaranya bagi mengumpul dana untuk Bersatu dan sebanyak RM5 juta berjaya dikumpul hasil program tersebut.