Selangor bankrap jika tidak mampu bayar hutang air RM4.22 bilion - Noh

Selangor bankrap jika tidak mampu bayar hutang air RM4.22 bilion - Noh
Jelas Noh, rizab kerajaan Selangor kini hanya tinggal RM3 bilion dan adalah mustahil untuk melangsaikan saman hutang tersebut. - Gambar fail
SEPANG:
"Selangor akan bankrap jika tidak mampu membayar hutang air berjumlah RM4.22 bilion."
 
Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar menegaskan jumlah itu adalah hutang kerajaan negeri kepada syarikat konsesi air Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash).
 
"Persoalannya sekarang Splash kini telah memfailkan saman bagi menuntut jumlah tertunggak dan memandang ia sebagai bil tertunggak.
 
"Jadi di mana sumber kerajaan negeri Selangor untuk bayar hutang itu?" soal Tan Sri Noh dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan tiga rumah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di sini hari ini.



Jelasnya rizab kerajaan Selangor kini hanya tinggal RM3 bilion dan adalah mustahil untuk melangsaikan saman hutang tersebut.
 
"Itu adalah duit simpanan Kerajaan Selangor dan negeri akan bankrap untuk melangsaikan hutang itu," tegasnya.
 
Katanya perkara seumpama tidak seharusnya berlaku jika pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang telah diambil alih kerajaan negeri membayar bil-bil tertunggak tersebut.
 
"Kenapa Syabas tidak membayar bil air ini kepada Splash?
 
"Rakyat berhak tahu adakah Kerajaan Selangor kini mengalami krisis kewangan berikutan salah urus kewangan negeri dan khidmat bekalan air yang dimiliki mereka," jelasnya.
 
Pada Isnin lalu, Splash menyerahkan writ bersama-sama dengan pernyataan tuntutan kepada Syabas bagi menuntut hutang tertunggak berjumlah RM4.22 bilion.