Kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tidak perlu terus mengelirukan rakyat dengan mendabik dada bahawa kemajuan dan pembangunan di negeri ini merupakan hasil usaha pentadbiran mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, apa jua yang dinikmati rakyat Selangor hanyalah kesinambungan daripada kepimpinan terdahulu yang diterajui UMNO dan BN.

“Senang-senang sahaja nak kata kemajuan sekarang disebabkan oleh kepimpinan mereka yang baik, di bawa oleh mereka, dan kerajaan Persekutuan yang terpaksa beri peruntukan.

"(Walhal) ini semua duit kita, kita majukan rakyat Selangor, rakyat Kuala Selangor, rakyat Puncak Alam, kerana kita mahu beri perkhidmatan terbaik untuk penduduk di Puncak Alam,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kuala Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengharapkan agar penduduk Kuala Selangor terus memberi mandat kepada Ahli Parlimen mereka iaitu Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim untuk penggal seterusnya.

“Walaupun beliau baru setahun jagung jadi ahli parlimen, tetapi daripada pergerakan yang beliau lakukan, Irmo mempunyai potensi yang besar untuk berada di peringkat negeri atau nasional,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mengharapkan agar penduduk dapat terus mengekalkan UMNO dan BN di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Selangor iaitu Jeram dan Bukit Melawati, serta merampas kembali DUN Ijok daripada tangan pembangkang.

Terdahulu, beliau mengumumkan kelulusan kerajaan agar sebuah balai polis dan sebuah dewan serbaguna dibina di kawasan Puncak Alam, serta peruntukan RM1 juta untuk membaik pulih sebatang jalan di kawasan itu.