Kerajaan Pusat perlu memasukkan klausa “penamatan awal” untuk projek lebuh raya di negeri itu di masa depan, kata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Selangor itu berkata, jika syarikat konsesi mendapat keuntungan mencukupi sebelum projek berakhir, perjanjian itu patut ditamatkan awal.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga dari PKR, Rodziah Ismail.

Rodziah dalam soalannya meminta kerajaan Selangor menyatakan pendiriannya mengenai rancangan kerajaan persekutuan yang mahu membina empat lebuh raya baru di Selangor.

Antara lebuh raya itu termasuk Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (Suke), West Coast Expressway, Damansara-Shah Alam Expressway (Dash), dan Eastern Klang Valley Expressway (EKVE).