Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) telah berjaya melantik sejumlah 124 ketua penaja bahagian di seluruh negara tidak termasuk Sarawak.

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali menjelaskan kesemua ketua penaja tersebut kebanyakannya terdiri dalam kalangan tokoh akademik, pensyarah serta bekas pegawai tinggi polis dan tentera.

"Kami sasarkan mahu pastikan semua ketua penaja bahagian yang dilantik ini dengan 191 kesemuanya dapat sempurna dan mereka dapat menyerahkan juga pendaftaran kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada akhir Julai. Ini bagi peringkat memohon kebenaran untuk menubuhkan bahagian.

"Selepas itu prosesnya, ROS akan keluarkan surat melulus untuk bahagian berkenaan mengadakan mesyuarat, ini yang kita mahu selesai pada hujung bulan Julai," katanya dalam sidang media selepas menpengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa Penaja Putra dan sambutan Aidilfitri pada Ahad.

Majlis sambutan Aidilfitri Putra diadakan di Rumah Bakti Dato' Harun, Hulu Kelang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razeleigh Hamzah yang diundang sebagai tetamu istimewa.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata bagi fasa pertama Putra menyasarkan untuk berjaya menubuhkan 191 bahagiannya menjelang akhir bulan hadapan.

Manakala bagi kedua pula Putra menyasarkan proses penubuhan cawangan dan seterusnya majlis pelancaran parti itu dijadualkan pada 1 September depan.

"Proses penubuhan cawangan akan berjalan serentak tetapi fasa kedua adalah pada awal Ogos. Kita berharap semua bahagian dapat menubuhkan sekurang-kurangnya 10 cawangan.

"Kalau kita dapat sempurnakan penubuhan bahagian setidak-tidaknya 80 peratus termasuk 30 peratus cawangan mengikut pusat daerah mengundi (PDM) di setiap bahagian, sasaran kita pelancaran parti Putra akan diadakan pada 1 September sempena dengan tarikh sambutan Maal Hijrah serta sehari selepas hari kebangsaan," katanya.

Pada 8 Mei lalu, ROS meluluskan penubuhan Putra selepas beberapa bulan permohonannya dibuat.