Isu perkongsian kuasa di antara Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas perlu diselesaikan sebelum melihat hasrat mewujudkan satu gagasan baharu menjadi kenyataan.

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, ia termasuk yang melibatkan jawatan-jawatan di dalam Kabinet, kementerian, agensi, pelantikan politik serta penyelarasan di peringkat negeri.

"Dengan kehadiran Umno dan Pas, peratusan kerusi Melayu di dalam Parlimen akan melonjak naik manakala peratusan kerusi DAP akan meleset. DAP tidak lagi boleh berlagak dan mendesak serta menghentak isu-isu yang diperjuangkannya selama ini.

"Tun Dr Mahathir Mohamad pula kena memimpin gagasan ini sehingga seorang yang berintegriti dan boleh dipercayai dipilih memimpin negara," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Rabu.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan beberapa portal dikatakan mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir membentuk satu pakatan baharu.

Dalam pada itu Rahim menjangkakan DAP tidak akan terus bersama gagasan baharu berkenaan.

"Saya rasa DAP tidak akan terus bersama gagasan baharu ini. Ini satu keputusan yang menimbulkan dilema dan tragik bagi DAP untuk memutuskannya.

"Setakat ini DAP telah merasai apa itu kuasa dan mereka faham jika tanpa kuasa, kondisinya seperti telur di hujung tanduk. Bila-bila masa boleh dirembat.

"PKR pula mungkin akan memperhebatkan kempen mereka ke seluruh negara bagi mendapatkan jawatan Perdana Menteri daripada Dr mahathir," tegasmya.

Sementara itu katanya, pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) pula masih terumbang-ambing dalam menyertai gagasan baharu itu memandangkan musuh ketat mereka iaitu Pas berada di dalam gabungan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Rahim menyifatkan Umno kini sudah berpecah dua dengan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyokong gagasan baharu berbanding kumpulan Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Lokman dan kumpulannya yang mewakili kumpulan Najib tidak mahu penyatuan dengan Bersatu. Lokman lebih suka penyatuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR. Dia mahu kumpulan Najib menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

"Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang, ada kemungkinan Lokman akan disingkir dan keputusan untuk penyatuan parti-parti politik Melayu akan diputuskan dalam mesyuarat MT yang penuh bersejarah ini.

"Pendirian Ahmad Zahid dan Hishammuddin dalam menyokong penyatuan parti-parti politik Melayu bersama Bersatu harus dipuji. Mereka meletakkan kepentingan nasional Melayu dan negara melebihi segala kepentingan yang lain," ujarnya.

Bagaimanapun Rahim memberitahu, tiada jaminan jika penyatuan berkenaan menjadi realiti, mana-mana pemimpin yang terlibat dengan dakwaan di mahkamah akan dilepaskan.