Menteri Dalam Negeri menasihatkan supaya krisis dalaman MIC diselesaikan dengan persefahaman politik dan bukan dengan tindakan perundangan.

Datuk Seri Zahid Hamidi mengulas tindakan pihak tertentu dalam parti itu menerusi peguam mereka yang mengemukakan satu kertas semakan kehakiman dilakukan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menurut Zahid, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sememangnya tidak mahu campur tangan dalam kemelut dan pengurusan parti MIC.

“Masalah politik harus diselesaikan cara politik melalui kaedah politik. Jika persetujuan telah dibuat supaya pemilihan diadakan semula maka ikutilah pemilihan itu cara demokratik dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghantar pemerhati.

“Dengan tidak ingin campur tangan dalam urusan MIC. RoS juga akan menghantar pemerhati untuk membantu apa yang tercatat dalam perlembagaan iaitu dalam peraturan parti tidak lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Pengarah JPAM, Datuk Zaitun Ab Samad.

Jelasnya lagi, beliau meminta masalah yang berlaku kini diselesaikan dengan kaedah politik seperti yang dipersetujui menerusi pertemuan antara pemimpin atasan parti itu sebelum ini.

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC K.Ramalingam pada Isnin mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah.

Ramalingam yang juga Pengarah Strategik MIC memfailkan semakan tersebut secara ex-parte di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Selvam Shanmugam & Partners.

Beliau menamakan RoS dan Mohammad Razin sebagai responden dan memohon kebenaran semakan terhadap kenyataan dan tindakan yang dinyatakan menerusi empat pucuk surat bertarikh 5 Dis 2014, 31 Dis 2014, 6 Jan 2015 dan 6 Feb lalu terhadap MIC.

RoS sebelum ini mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan daripada presiden hingga ke peringkat cawangan, bermula April hingga Julai depan.