Pemimpin parti pembangkang di Sabah diminta untuk 'sempurnakan' diri sendiri terlebih dahulu sebelum 'sempurnakan' orang lain dan tidak bercakap bohong setiap kali menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU).

Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman melihat pihak pembangkang kerap kali melaungkan slogan 'Ubah Sabah' terutamanya pemimpin pembangkang dari daerah Semporna yang kini galak turun berkempen dengan ideologi mengarut dan bercita-cita tinggi dengan menabur sebarang janji kosong sahaja namun perihal mereka amat menyedihkan sekali.

Beliau yang juga Menteri Luar menganggap adalah menyedihkan apabila pemimpin-pemimpin berkenaan diibaratkan tidak mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu kerana sering mengkritik kerajaan sedia ada meskipun terlibat dengan pelbagai kontroversi termasuklah disiasat oleh pihak berkuasa susulan skandal-skandal yang dilakukan mereka sebelum ini.

"Ada orang kata ubah, ubah apa yang dia mahu ubah, ubah diri sendiri dulu, jangan cuba mengubah orang lain kalau diri kita sama juga tidak sempurna, terutama sekali orang Semporna yang mewakili pemimpin Semporna, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah Pekan Bongawan anjuran Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Dewan Pekan Bongawan, hari ini.

Anifah dipercayai membuat ucapan berkenaan untuk ditujukan kepada pemimpin parti pembangkang terutama Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, yang kini menggunakan slogan ubah Sabah sebagai propaganda partinya dalam usaha memenangi hati pengundi.

Dalam majlis itu, Anifah juga sempat berkongsi pengalaman pernah berurusan dengan 'pemimpin itu' ketika membuat permohonan peruntukan luar bandar di kawasan Parlimen Kimanis.

Jelasnya, beliau terpaksa menunggu lebih dua jam di luar pejabat menteri itu namun masih tidak diendahkan mengenai peruntukan terbabit namun sehingga ke hari ini, ianya tidak pernah diterima walau satu sen pun.

"Oleh kerana saya mahu memohon permohonan pembangunan untuk rakyat Kimanis, saya sanggup menunggu dua jam di luar pejabat beliau, kopi pun tidak ada, ini bukan fitnah dan selepas dua jam baru beliau keluar dari pejabatnya untuk berjumpa dengan saya."

"Selepas dia keluar, dia mengambil permohonan itu dari tangan saya dan saya katakan Datuk tolong pertimbangkan permohonan ini kerana ini penting untuk rakyat Kimanis kerana dia ada RM13 bilion dan saya hanya minta RM50 juta tetapi sehingga kini satu sen pun tiada diberi," katanya.

Dalam majlis itu, Anifah turut menyerahkan sumbangan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada seramai 700 penerima di sekitar Bongawan.

Bantuan berkenaan adalah bagi mengurangkan beban pekebun kecil yang terjejas akibat tengkujuh di daerah itu baru-baru ini.