Semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) perlu akur dengan keputusan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sokongan padu daripada anggota dan kepimpinan parti gabungan adalah perlu jika mahu melihat PH menang seterusnya dapat mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

"Pendirian kita (Amanah) akan terus menyokong sepenuhnya Anwar bertanding di kerusi tersebut dan akan turut menyertai kempen pilihan raya di kawasan itu sebaik mungkin kerana beliau (Anwar) telah membuat keputusan dan semua pihak harus menghormati.

"Memang ada pelbagai komen orang mengenainya, tetapi bagi kita ia adalah komitmen Pakatan Harapan (PH) yang di capai sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya kepada Bernama pada program Kayuhan Merdeka 2018 di sini, hari ini.

Kira-kira 150 orang peserta menyertai kayuhan pada jarak 150 kilometer di sekitar Alor Setar.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sikap penyandang Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang telah berkorban demi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan menyertai pasukan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad harus dipuji bagi menjayakan pelan peralihan kuasa Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan.

"Anwar pun kata dalam masa ini bukan tujuan dia nak jadi Perdana Menteri lagi, tapi dia nak reform Parlimen dan sudah tentu menyertai team Kabinet Tun Mahathir sebelum Tun Mahathir melepaskan kepada Anwar, dan itu lebih cantik dipandang," katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz meminta semua pihak tidak mempolemikkan isu itu dan kembali bersatu hati untuk menumpukan kepada pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson nanti.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, Danyal Balagopal berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi di mana beliau telah memperoleh 36,225 undi berbanding 18,515 undi oleh calon Barisan Nasional dan 6,594 undi (PAS). -- Bernama