Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) Kelantan kini di peringkat akhir dan sudah melepasi saringan peringkat kedua.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata senarai nama calon berkenaan akan melalui saringan ketiga dalam tempoh sebulan ini sebelum ia dapat dikemukakan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak untuk penelitian dan pemilihan.

Katanya, antara tiga atau empat nama termasuk muka baru diambil dari setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, DUN Kelantan dalam cadangan senarai nama calon itu berdasarkan penilaian dan penelitian bersama Ketua Umno di 14 bahagian di Kelantan.

“Kita bincang senarai calon secara umum dan saya dah jumpa setiap ketua bahagian kecuali satu. Kita dah bincang dengan teliti dan saya selaku Pengerusi Perhubungan sudah pasti tanggungjawab saya maklumkan kepada Presiden parti.

"Saya sudah hampir siaplah. Saya akan berjumpa setiap seorang untuk dapatkan pandangan. Ini tugas saya, (untuk) kemukakan cadangan ini kepada Pengerusi BN.

"Kita dah kali kedua, tahun lepas dah ada. Sekurang-kurangnnya sekali lagi pusingan kedua dah selesai pusingan ketiga sebulan lagi," katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Kelantan di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, kandungan Manifesto BN Kelantan yang akan dikemukakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan turut menggariskan mengenai kegagalan kerajaan Pas mentadbir Kelantan bermula dari tahun 1990.

Beliau berkata kehendak rakyat juga akan dimasukan dalam manifesto PRU14 selain soal peluang pekerjaan, kemudahan asas dan sebagainya serta kelemahan dan janji Pas yang tidak tertunai kepada rakyat Kelantan.

Jawatankuasa Manifesto BN Kelantan yang diketuai oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin sedang mengemaskini draf manifesto itu sebelum dapat dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.