UMNO Selangor menafikan membuat sebarang perbincangan mengenai kerusi menteri besar seandainya mereka menawan kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, isu itu juga sudah dipersetujui tidak diperkatakan sehingga mereka benar-benar sudah merampas kembali negeri itu kelak.

"Tidak ada sebarang perbincangan. Jika ada yang heboh-heboh dan membuat senarai siapa Menteri Besar Selangor, itu hanya perbincangan 'kedai kopi'.

"Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid sendiri sudah memberi amaran memberi fokus kepada kemenangan, jadi kita jangan fikir siapa mahu jadi menteri besar dahulu.

"Berita daripada sumber yang dilapor sebuah portal itu tidak berasas, hanya berpandukan andaian peribadi," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

BACA: Jamal dan Irmohizam tiada dalam senarai calon MB Selangor

BACA: Rampas Selangor daripada pembangkang baru fikir calon MB - TPM Zahid

Zein mengulas laporan portal The Malaysian Insight yang menyatakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus tiada dalam senarai calon menteri besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri itu pada PRU14 nanti.

Selain Jamal, nama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim juga tiada dalam senarai calon menteri besar Selangor dari BN.

Sebaliknya UMNO Selangor dikatakan menghantar tiga nama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Adun Dengkil Shahrom Mohd Sharif dan Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi sebagai calon menteri besar Selangor.

Dalam pada itu tegas Zein, nama calon menteri besar akan timbul sendiri selepas kemenangan BN berdasarkan kemampuan masing-masing.

"Jika menang nanti, calon yang bakal mengemudi Selangor akan 'timbul' dan pada masa itu tidak ada sesiapa akan mempertikaikannya kerana ia merupakan hasil sokongan rakyat daripada keputusan PRU.

"Tidak perlu diperbesarkan isu ini dahulu, kini kita perlu fikir strategi menawan kembali Selangor," ujarnya.

Ahmad Zahid sebelum ini mahu UMNO Selangor memberikan fokus kepada usaha untuk memenanangi negeri itu pada PRU14 sebelum memikirkan tentang calon menteri besar.

Ahmad Zahid juga mahu UMNO Selangor bekerja lebih keras untuk memenangi hati dan minda pengundi Selangor yang pernah dihambat dengan permainan persepsi sewaktu pilihan raya umum (PRU) ke-13.

BN yang kehilangan Selangor sejak PRU12 pada 2008 mengunjurkan boleh menang 35 daripada 56 kerusi DUN pada PRU14 nanti.

Kedudukan sekarang, BN Selangor menyandang 12 kerusi, Pakatan Harapan 30 kerusi, Pas 13 dan seorang wakil rakyat bebas.