Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg mengesahkan sudah menerima senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) Negeri yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau seterusnya menyerahkan keputusan itu kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya sudah menerima senarai calon bagi PRU14 dan saya serahkan kepada Pengerusi BN," katanya ketika ditemui selepas program Lan Berambeh di ibu negara pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara itu dan hanya menyerahkannya kepada Datuk Seri Najib.

Pada PRU 2013, Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, 25 kerusi dimenangi oleh BN.

Parti Pesaka Bumiputera (PBB) pada PRU berjaya mengekalkan kesemua 14 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara itu, lima kerusi telah ditawan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan satu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).