Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Perak yang berpakaian hitam semasa Istiadat Pembukaan DUN pada Selasa disifatkan merosakkan sumpah untuk menjaga Perlembagaan Negeri Perak dan Persekutuan yang diangkat semasa hari pertama menjadi wakil rakyat.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kumpulan itu juga dilihat tidak mempunyai sebarang isu untuk berkabung sekali gus menunjukkan mempunyai masalah dari segi sikap masing-masing.

"Mereka ini bermasalah. Tabiat apa yang mereka bawa sedangkan tiada sebarang isu di Perak yang menjadikan mereka harus berkabung.

"Apa punca berkabung? Apa yang dibantahnya? Kenapa mereka buat begitu pada sidang DUN? Tiada saluran lainkah untuk mereka salurkan bantahan itu?

"Ini budaya tidak sihat. Mereka dipilih rakyat dan seharusnya menunjukkan kepatuhan kepada ikrar sebagai wakil rakyat dan mempertahankan kemuliaan dewan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shahrir mengulas situasi di DUN Perak di mana semua anggota DUN pembangkang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri sekali gus menunjukkan sikap biadab dan tidak menghormati institusi Diraja.

Dalam pada itu kata Shahrir, pembangkang di Perak seharusnya memikirkan cara lain untuk berkabung selain memahami proses sidang DUN.

"Mustahak kena pertahankan kemuliaan Dewan dan Sistem Raja Berpelembagaan. Kalau pembangkang hendak buat bantahan isu, seharusnya di luar daripada dewan.

"Mereka tidak sepatutnya berkabung dan melupakan tanggungjawab serta proses mewakili rakyat yang diamanahkan," katanya.

Sejumlah 26 Adun pembangkang tiba di perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan pagi Selasa, secara berkumpulan dengan berpakaian serba hitam.

Difahamkan, tindakan mereka memakai pakaian serba hitam antaranya sebagai tanda protes dan solidariti terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara.

Tindakan protes itu juga sebagai menunjukkan rasa marah atas kenaikan harga barang kini dan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April.