PAS sudah bersedia untuk berdepan pilihan raya ke 14 (PRU14) selepas melengkapkan siri jelajah ke seluruh negara.

Menurut Pengerusi Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, jentera di semua peringkat terutama di akar umbi kini berada dalam keadaan siap siaga.

Pada masa sama, beliau yakin serangan peribadi berterusan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menjejaskan sokongan terhadap parti itu.

Mustafa berkata, walapun DAP dan sekutunya, Parti Amanah Negara (Amanah) masih meneruskan kempen memburukkan parti itu namun usaha itu gagal.

"Dia (pembangkang) sudah tidak ada modal lain untuk serang PAS. Sebab itu dia cakap hodoh tentang PAS. Tapi alhamdulillah, tidak berjaya setakat ini.

"PAN (Amanah) sendiri boleh dikatakan antara parti yang tidak mendapat sokongan daripada rakyat. Kalau ada orang UMNO yang keluar pun sama ada dia akan masuk Parti Bersatu atau masuk PAS, dia tak akan pergi kepada PAN," katanya pada sidang media di Ibupejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu PAS katanya bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru bersama parti pembangkang bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) meskipun berdepan risiko kekalahan pada pilihan raya umum akan datang.

"PAS sedia berdepan tentangan tiga penjuru bersama rakan-rakan pembangkang yang lain termasuk UMNO pada pilihan raya umum akan datang, kita akan hadapi kerana ia satu situasi yang kita tidak boleh elak.

Itu yang terpaksa kita hadapi kerana secara tradisi kita dah 60 tahun lawan UMNO. Yang lain (pembangkang) hok (yang) baru-baru semua. Sepanjang masa kita lawan UMNO, macam mana pembangkang lain kata kita akan bersama dengan UMNO? Tidak sama sekali! Tak mungkin!," tegasnya.