Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) akan memperkukuh gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamed menegaskan, keputusan itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada akar umbi mengenai kemampuan Ahli Parlimen Sembrong itu sendiri mengemudi parti.

"Kami (UMNO Johor) sebulat setuju Hishammuddin menjadi Setiausaha Agung BN. Ia keputusan bersama yang diambil selepas melihat ketokohan beliau memimpin.

"Ia akan memperkuatkan BN sendiri dalam menghadapi PRU kelak. Ia juga usaha memantapkan hubungan dan memperkukuh BN secara keseluruhannya," katanya semasa dihubungi di sini, pada Isnin.

BACA: Hishammuddin calon terbaik Setiausaha Agung BN - Penganalisis

BACA: Setiausaha Agung BN baharu? Tunggu selepas mesyuarat BN - Hishammuddin

Terdahulu, Hasni menyatakan sokongannya di Pejabat UMNO Johor selepas mesyuarat perhubungan parti itu.

Sebelum ini, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan, tiga pemimpin BN iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran; dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengadakan perjumpaan pada 27 Ogos lalu.

Menerusi perjumpaan tersebut, sumber mendakwa ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti komponen tersebut bersetuju dengan sedikit perubahan jawatan, dan mencadangkan Hishammuddin dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung BN.

Menurut laporan tersebut lagi, sumber menambah Hishammuddin mampu menggalas tanggungjawab tersebut kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam politik negara.

Nada sama sebelum ini diutarakan penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakob yang menyifatkan Hishammuddin sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan mempunyai hubungan yang baik dengan banyak pihak.

Beliau juga berpendapat, ketika ini BN memerlukan seorang pemimpin yang mudah diterima oleh pemimpin dan ahli-ahli parti komponen.

Dalam perkembangan berasingan, Hasni berkata, BN Johor akan mencadangkan nama anak tempatan Tanjung Piai sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu.

Tegasnya, mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri juga sebulat suara menolak cadangan meletakkan calon luar bertanding di kawasan itu.

PRK Tanjung Piai merupakan yang ke-9 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia bakal diadakan berikutan kekosongan kerusi Parlimen tersebut selepas penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42 tahun, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunua di Hospital Pontian, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).