Tutup

Setiausaha Agung BN: Tiga lagi negeri sokong Hishammuddin

Setiausaha Agung BN: Tiga lagi negeri sokong Hishammuddin
Sabah, Perlis dan Selangor merupakan tiga lagi negeri yang memberi sokongan untuk Hishammuddin sebagai Setiausaha Agung BN. - Gambar Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Sabah, Perlis dan Selangor merupakan tiga lagi negeri yang memberi sokongan untuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Ia sekali gus menambah sokongan selain daripada yang diberi UMNO Johor pada Isnin.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan, pengalaman Hishammuddin sendiri dalam politik tidak boleh dinafikan dan merupakan calon terbaik untuk dilantik.

"Hishammuddin boleh memberi impak kepada kekuatan BN secara keseluruhan, dia adalah ikon yang boleh menyatupadukan semula komponen selain berupaya menguatkan gabungan ini.
"Dari segi akar umbi di Sabah juga memberi 'lampu hijau' untuk Hishammuddin berada di kerusi itu," katanya semasa dihubungi di sini, pada Selasa.

BACA: Setiausaha Agung BN: Hishammuddin paling layak - UMNO Johor
BACA: 
Setiausaha Agung BN baharu? Tunggu selepas mesyuarat BN - Hishammuddin

Pada Isnin, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamed menegaskan, pelantikan Hishammuddin sebagai Setiausaha Agung BN akan memperkukuh gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada akar umbi mengenai kemampuan Ahli Parlimen Sembrong itu sendiri mengemudi parti.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu pelantikan Hishammuddin sebagai Setiausaha Agung BN disegerakan.

"Kita memerlukan tokoh berpengalaman dalam barisan kepimpinannya dan Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO mempunyai banyak pengalaman untuk sama-sama memperkukuh BN.

"Kita bersetuju untuk menyatakan sokongan kita untuk Hishammuddin sebagai setiausaha agung BN, itu satu keputusan yang kita buat dalam badan perhubungan. MCA dan MIC sudah bersetuju, jadi UMNO juga bersetuju," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan secara peribadi menjelaskan, BN perlu mencari tokoh yang boleh menjadi jambatan menghubungkan semua bangsa ke dalam satu keluarga bangsa Malaysia yang harmoni.

Bagi saya, ini selari dgn konsep Muafakat Nasional yang dipelopori oleh UMNO dan Pas hari ini yang ingin dilihat bukan sahaja progresif tetapai juga inklusif.

"Hishammuddin saya lihat sangat sesuai dan ada aura tersebut. Kita tidak boleh mempunyai figura Setiausaha Agung BN yang dinampak ingin menjadikan BN sebagai UMNO. Sifat-sifat ini tidak sesuai untuk zaman ini," ujarnya.

Sebelum ini, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan, tiga pemimpin BN iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran; dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengadakan perjumpaan pada 27 Ogos lalu.

Menerusi perjumpaan tersebut, sumber mendakwa ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti komponen tersebut bersetuju dengan sedikit perubahan jawatan, dan mencadangkan Hishammuddin dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung BN.

Menurut laporan tersebut lagi, sumber menambah Hishammuddin mampu menggalas tanggungjawab tersebut kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam politik negara.


Tag: Zahid Hamidi, Shahidan Kassim, Hishammuddin Hussein, UMNO, PAS, Barisan Nasional, MIC, MCA, PRU, Perlis, Parlimen



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.