Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju bahawa perlu ada pemisahan kuasa parti politik dan kerajaan terutama semasa tempoh berkempen.

Beliau berkata, kehadirannya di Port Dickson hari ini adalah sebagai Ketua Pemuda Bersatu dan bukannya sebagai menteri.

“Saya datang sebagai Ketua Armada hari ini, pemandu saya tak ikut, saya guna kereta sendiri sebab dalam suasana pilihan raya kita kena ada perbezaan kerajaan dan parti politik,” katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan Pemuda Pakatan Harapan di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai teguran Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang- Undang Pilihan Raya (ERC) yang mendapati ada menteri yang menyalah guna kuasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

BACA: Tiada kesalahan sepanjang kempen PRK Port Dickson, kata ERC

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan juga menyedari akan isu pemisahan kuasa tersebut dan berusaha mematuhi prinsip tersebut.

“Kita ada persetujuan, di antara menteri Kabinet pun kita datang sebagai rakan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sebagai ahli dalam Pakatan Harapan,” katanya lagi.