Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal bakal bertemu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada minggu depan bagi memuktamadkan nama dan proses pengambilalihan sebuah parti di Sabah.

Mantan Ketua Pemuda Umno bahagian Semporna, Sabah, Datuk Mohd Azis Jamman berkata parti baru yang bakal diketuai Shafie ini juga dijangka akan menarik ramai ahli Umno untuk menyertainya.

"Selama ini pemimpin Barisan Nasional (BN) menganggap negeri Sabah sebagai 'simpanan tetap' mereka.

"Kini tidak lagi kerana parti baharu ini bakal membuktikan bahawa anggapan mereka selama ini salah," katanya sewaktu majlis sidang media mantan Exco Pemuda Umno Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen di sini hari ini.

Di majlis yang sama beliau turut mengumumkan keputusannya dan 27 ahli Umno lain untuk keluar dari parti Umno.

Tambahnya, Shafie yang juga ahli parlimen Semporna bakal mengetuai gagasan pembangkang di Sabah.

Shafie pada September lepas berkata parti yang bakal diambilalih tersebut berpangkalan di Sabah dan beroperasi secara aktif sejak ia ditubuhkan pada 2013.

Beliau mengumumkan keluar Umno pada Jun lalu selepas keahliannya digantung Jawatankuasa Disiplin Umno.