Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin terpilih menjadi Ketua UMNO Bahagian Maran selepas memperolehi 367 undi dengan menewaskan penyandangnya Datuk Seri Ismail Abd Mutalib pada pemilihan Mesyuarat UMNO Bahagian pada Sabtu.

Dengan kemenangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berusia 48 tahun itu mencipta sejarah menjadi Ketua Bahagian wanita pertama di Pahang.

"Saya insaf, amanah yang saya pikul ini teramat berat. Namun, saya istiqamah untuk terus Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat.

"Mohon untuk kita sama-sama rapatkan saf, lupakan yang telah lepas dan fokus untuk melangkah ke hadapan.

"Mohon juga kepada semua untuk menasihati saya, menegur dan memberi kritikan yang membina demi kebaikan dan keutuhan parti," katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini sambil mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberi kepercayaan dan mandat kepadanya.

Beliau turut mengakui tidak mungkin dapat melaksanakan amanah tersebut bersendirian.

"Kepada Saiful Anuar Mokhtar, yang terpilih sebagai Timbalan, Datuk Mukaram Shah yang terpilih sebagai Naib, semua Ahli Jawatankuasa, Ketua-Ketua Sayap, marilah sama-sama kita pikul yang berat, kita jinjing sama-sama yang ringan.

"Melangkah ke hadapan, seia dan sekata," kata Shahaniza yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Beliau sebelum ini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Shahaniza berjaya mengekalkan kerusi DUN Kuala Sentul dengan 5,541 undi menewaskan calon Pas Mohd Fazil Azmi Nadzri dan calon PKR, Bostamin Bakar.