Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal berdepan dengan bekas rakan serumahnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Datuk Dr Rahman Daud yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui Shahidan sememangnya dikenali beliau sejak di bangku sekolah.

“Kami juga merupakan rakan serumah ketika menyambungkan pelajaran di peringkat ijazah,” katanya ketika ditemui media selepas selesai proses penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, di sini hari ini.

Bagi ‘orang kuat’ Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan pula, pertembungan kali ini tidak pun mengurangkan semangatnya untuk berjuang.

“Kawan memang kawanlah, tidak ada masalah pun hendak bertanding,” katanya.

Kedua-dua calon ini juga bakal berdepan dengan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Hashim Jasin yang turut disenarai sebagai pencabar di Parlimen Arau.

Shahidan sebelum ini berjaya memenangi kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 1,371 selepas berdepan dengan Allahyarham Datuk Harun Din dari Pas dan juga calon Bebas, Zainudin Yom.