Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yakin manifesto Barisan Nasional (BN) yang memberi perhatian kepada peneroka Felda mampu dilaksanakan.

Ia kerana insentif khas sebanyak RM5,000 bagi setiap peneroka selain geran khas bagi tujuan penanaman semula dilihat satu manifesto yang bersifat inklusif dan realistik.

"Ini kerana bila dapat geran peneroka, mereka boleh kurangkan beban hutang sebanyak 75 peratus. Jadi ia satu program yang dah lama dilaksanakan pemerintah.

"Apa yang berbeza pada tahun ini, ialah dipanjangkan kepada peneroka Felda," kata Shahrir yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru.

BN dalam manifestonya pada Sabtu turut mengumumkan hutang pembelian saham Felda Global Ventures (FGV) peneroka Felda juga akan dilupuskan dan menawarkan pelupusan hutang penanaman semula peneroka.

Selain itu, BN turut berjanji untuk melupuskan hutang tambahan peneroka Felda semasa proses penanaman semula.