Ini adalah sebuah kisah mengenai orang muda yang mahu mencabar orang tua. Apabila cabaran tidak diendahkan, si pencabar menyangka bahawa orang yang dicabar itu takut. Sedangkan yang dicabar tidak mahu berlawan bukan kerana takut tetapi menyedari bahawa itu hanya membuang masa apatah lagi yang mencabar itu 'budak yang masih berhingus'.

Itulah ibaratnya yang terjadi apabila pengasas pertubuhan bukan kerajaan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir sebagai panel bagi menjawab persoalan dan dakwaan yang timbul sewaktu pentadbiran Mahathir selama 22 tahun.

Berikut adalah sebuah rencana yang disiarkan dalam kolum Anekdot Ahad, akhbar Mingguan Malaysia (21 Jun 2015):

Apabila membaca sebuah akhbar Bahasa Inggeris semalam, saya fikir tidak ada lagi yang paling diingati dan kemuncak dalam kerjaya politik Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard melainkan mencabar Dr. Mahathir. Gambar Badrul diletakkan bersebelahan dengan bekas Perdana Menteri itu. Sudah pasti itu satu pengiktirafan besar kerana bukan semua orang boleh duduk bersebelahan Dr. Mahathir waima dalam gambar.

Walaupun kini Dr. Mahathir adalah rakyat biasa tetapi beliau pernah melalui fasa yang "luar biasa" terutama di pentas-pentas antarabangsa. Malah menjadi suara daripada masyarakat Islam seluruh dunia mengkritik dasar Barat yang berat sebelah terhadap Islam dan negara-negara di rantau ini.

Tetapi itu dululah, sekarang banyak orang menganggap Dr. Mahathir bukan siapa-siapa. Doktor pun bukan. Sebab itu banyak yang bukan siapa-siapa pun mengajak beliau berdebat.

Oleh kerana itu Badrul dilihat paling berani apabila mencabar Dr. Mahathir. Lagi berani apabila dia menganggap Dr. Mahathir takut berdebat dengannya mengenai isu-isu yang berbangkit ketika ini. Kalau mahu dianggap ini satu tanda aras kedudukan politik Badrul, boleh juga setidak-tidaknya hingga semalam, Badrul membuktikan dia juga luar biasa seperti Dr. Mahathir.

Ohh ya, sebelum terlupa, Badrul ini dari kapal PKR. Tetapi jangan lupa, dia adalah pengasas pertubuhan bukan kerajaan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Oleh kerana saya tidak berminat dengan politik kepartian dan tidak menulis pasal politik, saya tidak tahu ranking Badrul dalam PKR. Tetapi dengan keberanian yang ditunjukkan, tentulah kedudukannya mungkin "atas sikit" daripada pemimpin de facto, Anwar Ibrahim.

Kawan saya yang kebetulan baru lepas membaca berita yang sama mencadangkan kepada saya supaya mengumumkan kepada media mencabar Badrul berdebat. Memang lawak kawan saya ini mengarut, tetapi kalau dia bersungguh-sungguh pun saya tidak akan melakukannya. Badrul terlalu tinggi dan pengaruhnya besar bagi saya. Kalau dia tidak menyahut cabaran, sudah pasti saya yang akan malu besar kecuali saya mencari populariti di media.

Ini mengingatkan masa saya zaman kanak-kanak dulu. Saya selalu mencabar orang yang jauh lebih besar dan dewasa daripada saya berlawan tetapi tidak ada yang menyambut cabaran itu. Masa itu saya menganggap mereka takut.

Tetapi bila dewasa tahulah saya bahawa orang tidak mahu berlawan bukan kerana takut tetapi hanya membuang masa sahaja berlawan dengan budak yang masih berhingus. Alangkah malunya.

Saya harap dengan keberanian mencabar Dr. Mahathir akan memberikan suatu yang positif dalam profil politik Badrul. Sebabnya budaya politik negara ini agak unik, mereka yang bijak memperagakan diri sebagai hulubalang akan diingat orang.

Dalam politik Malaysia, banyak juga orang pegang tombak yang bercita-cita menjadi hulubalang. Ini kerana kelas hulubalang lebih tinggi dan selalu berdampingan dengan raja dalam sistem kerajaan Melayu dahulu kala.

Apa lagi dengan pengaruh Badrul dalam SAMM yang banyak memberikan reaksi kepada media dalam isu tertentu, dunia politik akan mengingati dia. Maknanya itu menunjukkan dia berada dalam lingkaran utama.

Cuma saya tidak pasti berapa ramaikah anak muda yang menyertai SAMM? Sejuta? Dua juta? Mungkin lebih lagi.

Saya percaya SAMM bukan NGO "hantu raya" yang pernah saya sentuh sebelum ini. Sebabnya banyak yang hampas dan mengambil kesempatan ke atas orang politik yang mahu kekal di atas takhta.

Saya juga berharap Badrul tidak kecewa sampai menonggeng kerana Dr. Mahathir tidak menjawab cabarannya. Badrul kena berfikir positif bahawa dia telah mendapat kemenangan, kalau pun belum tentu menang, apa salahnya menyedapkan hati sendiri?

Presiden Barack Obama pun pernah dicabar berdebat oleh "entah siapa-siapa" dan disiarkan dalam sebuah surat khabar nyamuk di Amerika Syarikat. Obama tidak menjawab dan orang itu juga menganggap Obama takut berdepan dengannya. Biarlah asal dia bahagia.

Sekadar bertanya, kenapa Badrul tidak mengungkit perihal kononnya kekayaan anak-anak Dr. Mahathir luar biasa sebelum ini? Kenapa dia menunggu masa yang membolehkan dilihat sebagai "hulubalang" dan adakah dia mahu menangguk sesuatu dari pergolakan dalam UMNO?

Badrul tidak perlu menjawab kerana sekilas ikan di akuarium politik, mudah dikenal jantan atau betina.

** Rencana pendapat ini adalah hasil tulisan KU SEMAN KU HUSSAIN. Beliau merupakan Pengarang Mingguan Malaysia yang berpengalaman luas dalam hal ehwal semasa, isu politik dan industri seni negara. Pandangan peribadi beliau bukan mewakili sidang editorial Astro AWANI.