"Mereka tidak buat kerja. Cuma bercakap dan bercakap sahaja!

"Sedangkan dengan situasi seperti saya ini, tiada siapa yang datang membantu. Tiada. Tiada Yang Berhormat (YB) yang akan membantu."

Bersandarkan kenderaan pelbagai (MPV) berwarna merah gelap, Johor Mehat yang berusia 63 tahun meluahkan keluhannya itu yang dilihat sudah pasrah dengan sikap wakil rakyat yang tidak mengendahkan masalah-masalah yang dihadapinya.

Dia kecewa apabila Orang Kurang Upaya (OKU) sepertinya seperti tiada siapa peduli, tiada siapa ambil kisah.

"Kalau mereka tidak buat kerja, kami mahu cakap apa? Kami sudah tua, dik. Kalau tiada siapa bantu, siapa akan tolong? Ya, OKU seperti kami memang kena berusaha sendiri," kata Johor yang dilihat seperti tidak memasang sebarang harapan lagi terhadap siapa yang akan menjadi wakil rakyat di kawasannya itu.

Esok bakal berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong selepas penyandangnya sebelum ini, mendiang Eddie Ng Tien Chee meninggal dunia dalam satu kemalangan pada 20 Julai.

DUN tersebut mempunyai 52, 650 pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam PRK itu.

PRK Balakong bakal menyaksikan Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki berdepan calon MCA, Tan Chee Teong.

Sementara itu bagi peniaga Zalina Jaafar, dia mengharapkan calon yang memenangi PRK itu dapat mengatasi masalah pekerja asing yang dilihat semakin berleluasa.

"Saya minta kalau boleh bagi siapa yang akan memang nanti boleh mengatasi masalah pendatang yang tanpa permit ini. Nak keluar rumah pun takut. Rasa tertanggu,"katanya.

Bagi Ainuddin Shamsuddin pula, dia risau mengenai keselamatan diri dan anak-anaknya apabila terdapat banyak kes pecah rumah yang berlaku di kawasan itu.

"Saya dengar dalam itu ada dalam lima atau enam kes. Saya risau sebab saya ada empat orang anak. Saya risau apabila mereka ke sekolah atau pulang dari sekolah dengan sendiri.

"Saya juga ada dengar isu-isu penculikan di kawasan ini jadi, saya harap wakil rakyat yang baru ini dapat melihat isu keselamatan secara keseluruhan.