Sistem e-undi akan diteruskan bagi proses pemilihan PKR dengan penambahbaikan sistem itu, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata berdasarkan perjalanan pemilihan di Pulau Pinang pada Sabtu lepas, sistem itu berjalan baik cuma beberapa peranti tidak berfungsi.

"Kita menerima saranan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), e-undi ini diteruskan...laporan di Pulau Pinang, ia (e-undi) berjalan baik, cuma ada beberapa peranti tidak berfungsi dan ini akan diperbaiki," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, malam tadi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata kawalan keselamatan sepanjang pemilihan akan dipertingkatkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang.

Anwar berkata keputusan pemilihan di Pulau Pinang pada Sabtu diterima, manakala proses pengundian di Kedah akan diadakan semula sementara pemilihan di Perak dan Perlis yang ditangguhkan akan dijadual semula pada satu tarikh diumumkan kelak.

Bagi negeri-negeri lain akan diteruskan mengikut jadual, termasuk di Johor yang dijadual pada Ahad ini manakala Melaka dan Negeri Sembilan pada 20 Okt.

Sistem e-undi yang dilaksanakan buat kali pertama bagi Pemilihan PKR 2018 di Kedah dan Pulau Pinang pada 22 Sept lepas, dikritik hebat sebilangan anggota parti yang mahu sistem itu dimansuhkan susulan gangguan teknikal ketika proses pengundian berlangsung.

Mengulas berhubung insiden kekecohan semasa proses pemilihan, beliau berkata dua anggota PKR yang menimbulkan kekecohan di cabang Merbok dan pada sidang media JPP di Seberang Jaya, dipecat serta merta daripada parti.

"Dengan itu, mereka (dua anggota terbabit) ini dilarang terlibat dalam apa-apa aktiviti parti... begitu juga jika terdapat pemimpin yang masih mengangkat (membela) mereka juga akan dikenakan tindakan disiplin, " tegasnya.

Selain isu sistem undian, beberapa siri kekecohan berlaku pada proses pemilihan Sabtu lepas, termasuk pada sidang media JPP di Seberang Jaya apabila ada dalam kalangan anggota tidak berpuas hati bergaduh sesama sendiri dan membaling kerusi.

Menyentuh persiapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Anwar berkata Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi PKR dan Pakatan Harapan negeri, Aminuddin Harun dilantik sebagai Pengarah PRK berkenaan.

Menjawab tindakan Barisan Nasional yang memboikot PRK itu dan tidak meletakkan calon, Anwar berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

"Sepatutnya tidak harus boikotlah, tapi tak apalah… ini negara demokrasi. Saya sebagai calon akan bekerja sekuat mungkin walaupun berdepan calon Bebas," katanya.

-- BERNAMA