Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan Naib Presiden MIC Datuk C. Sivarraajh tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Cameron Highlands yang bakal diadakan pada 26 Jan tahun depan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata perkara itu diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).

Katanya, SPR juga telah meneliti Laporan Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertarikh 13 Dis lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5.

"Dalam tempoh lima tahun bermula 13 Dis 2018, Sivarraaj tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya, dan tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Azhar berkata SPR telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam membuat keputusan ini seperti diperuntukkan di bawah akta dan peraturan berkaitan pilihan raya sedia ada.

Pada 19 Dis lalu, SPR berkata pihaknya akan meneliti kelayakan Sivarraajh untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands selepas mendengar keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah. Ia selepas calon DAP, M. Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan Calon MIC Sivarraajh (Barisan Nasional) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Sivarraajh antara lain didapati bersalah memberi suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya berkenaan.

Hari penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan pada 12 Jan, manakala hari mengundi awal pada 22 Jan.