Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut bahawa PAS masih menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang.

Beliau berkata adalah mustahil bagi PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang belum didaftarkan penubuhanya untuk sama-sama menganggotai pakatan itu.

Salleh berkata Pakatan Rakyat perlu memilih satu daripada dua parti itu untuk menjadi rakannya.

"Bagaimana kah kita hendak memahami kenyataan Anwar itu? DAP telah mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sudah mati dan sudah tidak wujud lagi.

"Jadi, bagaimana PAS masih boleh menjadi sebahagian daripada pakatan yang tidak wujud itu?," tanya Salleh dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.com hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan peguamnya semalam, Anwar berkata Amanah akan memperkukuhkan lagi kedudukan pembangkang, bersama-sama PKR, PAS dan DAP serta akan meluaskan kerjasamanya dengan pertubuhan bukan kerajaan yang berkongsi dan komited terhadap objektif bersama mereka.

"Mereka tidak boleh mempunyai kedua-duanya secara serentak. Sama ada Anwar yang tidak faham atau beliau menyangka bahawa kita yang tidak faham perkara ini," kata Salleh.