MIC Melaka yakin sokongan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN) di negeri ini, akan meningkat kepada 80 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Anggota Jawatankuasa MIC negeri, Datuk M. S Mahadevan berkata keyakinan tersebut berdasarkan respons positif diterima parti tersebut menerusi pelbagai program dan bantuan yang dilaksanakan khusus untuk kaum berkenaan di negeri ini.

"MIC Melaka telah melaksanakan pelbagai program bagi membantu masyarakat India dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan parti dan ia mendapat sambutan baik.

"Kita harap masyarakat India di negeri ini akan membuka mata bahawa bantuan dan kebajikan diterima mereka selama ini daripada kerajaan BN dan saya harap mereka tidak akan mudah terpedaya dengan hasutan pihak lain yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Deepavali, anjurannya di sini, pada Rabu.

Mahadevan yang juga Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO negeri, berkata berdasarkan rekod terkini, bilangan pengundi kaum India di Melaka adalah seramai 18,000 orang atau enam peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri ini.

Jentera MIC di semua peringkat sedang berusaha mengesan pengundi baharu dalam kalangan masyarakat India, katanya.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 2,000 rakyat negeri ini, daripada pelbagai lapisan masyarakat selain diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Pelbagai juadah masyarakat India disajikan pada majlis berkenaan seperti tosai, capati, roti canai, kuih vadei selain nasi lemak, mi goreng dan nasi beriani.

-- BERNAMA