Pas menggesa UMNO memberi penjelasan berhubung dakwaan terdapat Ahli Parlimen parti itu yang memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata penjelasan dari UMNO itu penting memandangkan parti itu telah menandatangani persefahaman dan persetujuan yang termaktub Piagam Muafakat Nasional.

Katanya, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN, BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH.

“Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Pada Rabu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa telah mendapat jumlah sokongan
yang menyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan dengan jelas sokongan yang diperolehi itu.

Timbul desas desus mengatakan 15 Ahli Parlimen UMNO telah memberi sokongan kepada Anwar.

Ia dikuatkan dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan beliau tidak boleh menghalang sekiranya ada Ahli Parlimen partinya mahu memberi sokongan kepada Anwar.

Namun setakat ini Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang dikaitkan memberi sokongan kepada Anwar menafikan dakwaan tersebut.

Idris Jusoh nafi sokong Anwar