Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada 9 Mei ini adalah kira-kira 85 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada masa sama menyeru pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian.

"Jangkaan peratusan keluar mengundi, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini adalah lebih kurang 85 peratus. SPR berharap para pengundi dapat keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Keputusan PRU14 dijangka diumumkan pada jam 9 malam 9 Mei nanti.

SPR juga berharap tempoh berkenaan berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

"Semua pihak termasuk parti bertanding, calon, penyokong, NGO dan orang ramai hendaklah mematuhi undang-undang serta arahan dikeluarkan dari semasa ke semasa SPR dan PDRM," tambahnya.

Tambahnya, SPR telah menubuhkan 440 pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya atau PPKPR di 222 parlimen dan 505 DUN.

"PPKPR boleh menurunkan bahan kempen seperti bendera atau gambar pemimpin tidak berkaitan yang melanggar peruntukan undang-undang pilihanraya," ujarnya.

SPR juga telah melantik 1,236 orang pemerhati pilihanraya dari 14 NGO tempatan untuk memantau perjalanan pilihanraya.

Selain itu, 25 pemerhati antarabangsa dari 9 negara turut dilantik.